Cari Blog Ini

17 Agustus 2010

14. Keberkatan Bulan Ramadhan

Mengapa bulan Ramadhan itu umat Islam digalakkan membuat amal kebajikan dan amal ibadat lebih daripada bulan-bulan yang lain? Adakah ada sebab-sebab syar'i yang menunjukkan kelebihan dan keberkatan bulan tersebut? Jawabnya, memang ada. Rasulullah SAW banyak menjelaskan keistimewaan bulan Ramadhan dikebanyakan hadisnya supaya umat Islam merebut peluang ini untuk melipatgandakan amalan dan taqarrub kepada Allah.

Bulan  Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan berkat dan rahmat, ditinggikan darjat amalan, terkawal daripada keburukan dan maksiat, diselamatkan daripada api neraka dan siksaan akhirat. Oleh kerana itu, Allah menjadikan bulan Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dibebaskan daripada api neraka.

Hadis yang menjelaskan demikian diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Baihaqi maksudnya: Dikurniakan kepada umatku lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumnya, iaitu:

1. Bila menjelang awal malam Ramadhan sesungguhnya Allah memandang kepada mereka dan siapa yang dipandang oleh Allah mereka tidak akan disiksa selama-lamanya.
2. Perubahan bau mulut di siang hari kerana berpuasa itu lebih wangi baunya di sisi Allah daripada bau wanginya kasturi.
3. Para malaikat memohon keampunan dosa-dosa orang yang berpuasa.
4. Allah memerintahkan kepada syurga supaya membuat persiapan dan perhiasan kepada hamba-hambaNya yang berpuasa kerana hambaNya yang berpuasa tidak lama laagi akan berehat kepenatan dunia dan menjadi tetamu istimewa disyurgaNya.
5. Bila tiba akhir malam bulan Ramadhan sesungguhnya Allah mengampunkan dosa mereka semua kerana para pekerja bila selesai melaksanakan tugasnya mereka akan diberikan upah dan ganjaran.

Demi untuk melipatgandakan amalan di bulan Ramadhan, mengapa tidak diisi masa-masa terluang seperti selepas bekerja dengan zikir, istighfar, tasbih atau membaca Al-Quran? Mengapa mesti ditunggu waktu malam sedangkan kebanyakan perut ketika itu telah kenyang dan rancangan TV pula banyak yang menarik dari yang lain-lain. Mengapa waktu terluang selepas bekerja dibiarkan percuma berlalu dengan bersembang di kedai-kedai kopi, di tepi-tepi jalan, berkeliaran ke sana ke mari tanpa tujuan? Bukankah ada baiknya sementara menanti masa berbuka itu kita isikan dengan membaca Al-Quran sejuzuk dua setiap petang? 

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita renung dan fikirkan cara mana untuk mengubah cara hidup kita dalam usaha meningkatkan amalan kita dalam bulan Ramadhan. 16 Ogos 2010






1 komentar:

  1. Ramadhan bulan penuh rahmat diawalnya, keampunan dipertengahannya dan pelepasan azab neraka diakhirnya tapi terlalu ramai masyarakat islam tidak menyedarinya..Sebilangannya melipatgandakan amalan pada bulan ini dengan sibuk punggah anak isteri ke masjid solat terawikh tapi pada bulan sebelum dan selepas tak pernah nampak batang hidung kat masjid...

    BalasHapus