Cari Blog Ini

14 Agustus 2010

1. Puasa Ibadat Berorintasikan Kerohanian

Puasa bulan Ramadhan ialah salah satu dari sendi Islam atau lebih dikenali denggan rukun Islam yang keempat. Puasa merupakan ibadat yang berbentuk rohani yang difardhukan oleh Allah ke atas setiap muslim sebagai satu cara membentuk keimanaan seseorang yang benar-benar beriman kepada Allah. Kewajipan ini dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Mengapa takwa menjadi tujuan utama berpuasa? Jawabnya, kerana takwa itu merupakan intisari kehidupan muslim sejati; dan puasa juga adalah satu cara di mana rohani dapat mengalahkan tarikan jasmani. Dengan lain perkataan. roh dapat menyekat runtunan nafsu syahwat supaya dapat berjalan mengikut hukum hakam dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah.

Mengapa rohani amat penting dikawal dan dipelihara dalam kehidupan manusia? Kerana sebagaimana kita maklum bahawa manusia terbentuk daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Makan minum dan hubungan seksual merupakan pengisian tuntutan jasmani. Bila perut sentiasa kenyang dan merasa puas, maka runtunan jasmanilah yang selalu menguasai jiwa dan rohani seseorang.

Oleh kerana itu difardhukan puasa setahun sekali selama sebulan suntuk itu sebenarnya ia dapat membantu mengatur program hidup sehari-hari, meningkatkan ketahanan jiwa dan membersihkan hati dan perasaan daripada berterusan diruntun keinginan nafsu berpunca dari perut yang sentiasa kenyang.


Dengan berpuasa sebulan secara berterusan dalam setahun itu sekurang-kurangnya ia akan dapat mengimbangi tuntutan jasmani dan rohani supaya berjalan seimbang sesuai dengan tugasnya sebagaai khalifah Allah di muka bumi ini agar dapat memainkan peranannya dengan betul dan sempurna.

Sebenarnya cabaran untuk mendapatkan takwa sebagai menifestasi dari ibadat puassa atau untuk mendapatkan keredhaan Allah itu begitu berat sekali untuk dilakukan oleh orang-orang yang dibelenggu jiwanya dengan kekuatan jasmani sahaja. Lantaran itulah membendung kekuatan jasmani melalui puasa dapat mengurangkan tekanan tersebut yang sekaligus memudahkan usaha-usaha ke arah takwa dan mendapatkan keredhaan Allah. 13 Ogos 2010

Tidak ada komentar:

Posting Komentar