Cari Blog Ini

23 Agustus 2010

18. Lailatul Qadr

Pengertian Lailatul Qadr ialah malam yang penuh dengan keberkatan atau malam mubarakah. Malam yang mempunyai keistimewaan dan malam yang lebih baik dari 1000 bulan bahkan dari seumur hidup.

Mengapa malam 10 yang akhir dari bulan Ramadhan ini dinamakan sebagai malam Lailatul Qadr? Setengah ulama mengatakan bahawa malam itu Allah mentakdirkan umur manusia dan rezeki mereka, yakni Allah menampakkan kepada para malaikat yang diutus mengurus keadaan para makhluknNya apa yang Allah tetapkan untuk tahun itu iaitu dari Lailatul Qadr hingga ke Lailatul Qadr yang akan datang.

Kebesaran malam Lailatul Qadr adalah disebabkan oleh 2 perkara: 
Pertama: Malam diturunkan Al-Quran, kerana Al-Quran itu sebagai perlembagaan hidup setiap muslim, maka memang layak benar hari tersebut dijadikan hari kebesaran kerana dari malam itu bermulanya penghidupan baru bagi umat Islam. Malam ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya di surah Al-Baqarah ayat 185 bermaksud: Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dan pemisah antara yang hak dengan yang batil.

Maksud firmanNya dalam surah Al-Qadr 1-5: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu turun Malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut), sejahteralah malam yang berkat itu hinggaa terbit fajar.
Kedua: Malam turunnya para malaikat dalam satu angkatan yang besar dan penuh gilang gemilang yang diketuai oleh Jibril untuki memberi tahiyyat atau penghormatan kepada orang yang berpuasa dengan penuh ikhlas dan untuuk menyaksikan amal ibadat mereka serta untuk mengembangkan salam dan rahmat antara penduduk bumi.

Malam Lailatul Qadr ini menjadi salam iaitu kesejahteraan dari permulaan hingga terbit fajar sebagaimana dalam ayat 4 dan 5 susrah Al-Qadr. Lantaran itulah ia lebih baik dari 1000 bulan yang menyamai 83 tahun 4 bulan. Mengikut umur kebiasaan manusia adalah antara 60-80 tahun. Tegasnya, malam Lailatul Qadr ittu lebih baik dari sepanjang masa umur kebiasaan manusia. Ini dapat disimpulkan bahawa malam Lailatul Qadr itu lebih baaik dari seumur hidup manusia.

Di antara keutamaan yang Allah limpahkan kepada hambanya pada malam itu ialah mengampuni segala dosa bagi orang yang beribadat pada malam itu dengan niat tulus ikhlas dan mengharapkan keredhaanNya jua.

Sekurang-kurang amalan untuk mendapatkan pahala Lailatul Qadr itu sebagaimana disebutkan dalam 'Kitab Matla'al Badrain' ialah solat Isyak dan solat Subuh berjemaah di masjid / surau dan sebaik-baiknya pula hendaklah kita isikan malam tersebut dengan:
1. Beriktikaf di masjid / surau dan solat Tahiyyat Masjid.
2.  Solat Isyak berjemaah dan solat sunat qabliyah dan ba'diyah.
3. Selepas tengah malam pula beriktikaf di masjid / surau dan melaksanakan solat-solat seperti solat sunat Tahajjud, solat Taubat, solat Tasbih, solat Hajat dan diakhiri dengan solat Witir.
4.  Banyak membaca Al-Quran, berzikir, beristighfar dan bertaubat.

Pendek kata buatlah surang-kurang amalan untuk mendapatkan malam Lailatul Qadr isebagaimana pendapat Imam Syafi'i iaitu solat Isyak dan Solat Subuh berjemaah di masjid / surau.23 Ogos 2010









17 Agustus 2010

14. Keberkatan Bulan Ramadhan

Mengapa bulan Ramadhan itu umat Islam digalakkan membuat amal kebajikan dan amal ibadat lebih daripada bulan-bulan yang lain? Adakah ada sebab-sebab syar'i yang menunjukkan kelebihan dan keberkatan bulan tersebut? Jawabnya, memang ada. Rasulullah SAW banyak menjelaskan keistimewaan bulan Ramadhan dikebanyakan hadisnya supaya umat Islam merebut peluang ini untuk melipatgandakan amalan dan taqarrub kepada Allah.

Bulan  Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan berkat dan rahmat, ditinggikan darjat amalan, terkawal daripada keburukan dan maksiat, diselamatkan daripada api neraka dan siksaan akhirat. Oleh kerana itu, Allah menjadikan bulan Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dibebaskan daripada api neraka.

Hadis yang menjelaskan demikian diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Baihaqi maksudnya: Dikurniakan kepada umatku lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumnya, iaitu:

1. Bila menjelang awal malam Ramadhan sesungguhnya Allah memandang kepada mereka dan siapa yang dipandang oleh Allah mereka tidak akan disiksa selama-lamanya.
2. Perubahan bau mulut di siang hari kerana berpuasa itu lebih wangi baunya di sisi Allah daripada bau wanginya kasturi.
3. Para malaikat memohon keampunan dosa-dosa orang yang berpuasa.
4. Allah memerintahkan kepada syurga supaya membuat persiapan dan perhiasan kepada hamba-hambaNya yang berpuasa kerana hambaNya yang berpuasa tidak lama laagi akan berehat kepenatan dunia dan menjadi tetamu istimewa disyurgaNya.
5. Bila tiba akhir malam bulan Ramadhan sesungguhnya Allah mengampunkan dosa mereka semua kerana para pekerja bila selesai melaksanakan tugasnya mereka akan diberikan upah dan ganjaran.

Demi untuk melipatgandakan amalan di bulan Ramadhan, mengapa tidak diisi masa-masa terluang seperti selepas bekerja dengan zikir, istighfar, tasbih atau membaca Al-Quran? Mengapa mesti ditunggu waktu malam sedangkan kebanyakan perut ketika itu telah kenyang dan rancangan TV pula banyak yang menarik dari yang lain-lain. Mengapa waktu terluang selepas bekerja dibiarkan percuma berlalu dengan bersembang di kedai-kedai kopi, di tepi-tepi jalan, berkeliaran ke sana ke mari tanpa tujuan? Bukankah ada baiknya sementara menanti masa berbuka itu kita isikan dengan membaca Al-Quran sejuzuk dua setiap petang? 

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita renung dan fikirkan cara mana untuk mengubah cara hidup kita dalam usaha meningkatkan amalan kita dalam bulan Ramadhan. 16 Ogos 2010






16 Agustus 2010

17. Puasa Melatih Diri Menghadapi Cabaran

Hidup adalah perjuangan, setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan setiap pengorbanan perlu menghadapi berbagai-bagai risiko sama ada beroleh kejayaan atau kegagalan. Manusia dalam menghadapi keadaan yang sedemikian tidak kesemuanya tabah dan sabar dalam menghadapi kenyataan. Oleh yang demikian, Allah SWT memfardukan ibadat puasa Ramadhan antara lain bertujuan untuk membentuk dan mendidik manusia supaya sentiasa cekal dan sabar menghadapi apa jua suasaa dan keadaan yang menimpa dirinya.

Dalam ibadat puasa, makan minum dan hubungan seksual dengan isteri yang dihalalkan sebelumnya, ketika menjelang bulan Raamadhan kesemuanya telah diharamkan oleh Allah daripada melakukannya di siang hari, sedangkan makan minum dan hubungan seksual antara suami isteri merupakan naluri dan tuntutan semula jadi yang sukar dibendung oleh manusia.

Dengan adanya latihan fardhu puasa yang berterusan, kita sanggup meninggalkan perkara-perkara yang halal bukan di bulan puasa semata-mata patuhkan perintah Allah. Untuk menghadapi masalah ini, kita terpaksa menghadapi berbagai-bagai dugaan dan godaan nafsu yang mencabar. Betapa tidak, memang menjadi amalan kita sehari-hari bahawa kita akan mengambil sarapan di waktu pagi, apabila sudah masuk tengahari kita akan mengambil makan tengahari, apabila masuk waktu malam, kita akan makan malam dan kiranya kita ingin mengadakan hubunggan seksual kita lakukan tanpa ada sekatan dan halangan tidak kira siang atau pun malam, tetapi di bulan Ramadhan kesemuanya itu terpaksa ditahan biar pun menghadapi tekanan perasaan dan penderitaan batin.

Dengan adanya latihan yang sebegini keras dan penuh disiplin, maka untuk menghadapi cabaran hidup sehari-hari yang semetinaya tidak pernah sunyi dari berlakunya dugaan, kegagalan, kecelakaan, kesengsaraan dan sebagainya itu kita sudah tidak begitu terperanjat lagi dengan kemungkinan-kemungkinan yang kita terpaksa hadapi. Kita meyakini perkara-perkara tersebut adalah perkara biasa yang mesti dihadapi untuk menuju kejayaan. Kerana kemajuan dan kejayaan hidup bukan dapat dicapai dengan mudah, malahan ia memerlukan pengorbanan jiwa raga dan semangat yang gigih, kesabaran yang kuat dan pendirian yang teguh.

Untuk tujuan di atas, marilah kita melatih dan mendidik diri kita menghadapi apa jua cabaran hidup melalui ibadat puasa sebagaimana yang sedang kita tunaikan pada bulan yaang mulia ini. Lantaran itulah ibadat puasa itu ganjarannya hanya ditentukan oleh Allah sendiri bukan sebagaimana ibadat-ibadat lain. 16 Ogos 2010

15 Agustus 2010

16. Hubungan Puasa Dengan Kesihatan Jasmani

Bila kita memperkatakan tentang puasa, ada baiknya kita meninjau serba sedikit hubungan puasa dengan kesihatan tubuh badan sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bermaksud: "Berpuasalah kamu nescaya kamu akan menjadi orang yang sehat".

Di antara kesan puasa terhadap kesihatan tubuh badan telah dibuktikan oleh para doktor di zaman modern ini, antaranya: Memberi kerehatan tubuh badan secara umum dan memberi kerehatan kepada alat penghadaman secara khusus, supaya alat-alat yang telah penuh dengan bahan-bahan lemak, kolestrol dan alat-alat yang telah tersumbat itu dapat dipulihkan semula.

Sekiranya dikaji dengan teliti, tubuh badan manusia itu tidak ubah bendingannya dengan jentera-jentera mekanik seperti kereta, motorsikal dan lain-laian lagi. Ia memerlukan kerehatan bagi menyejukkan alat-alat dan injin yang sentiasa berjalan tidak berhenti-henti. Bila sampai masa tertentu, ia perlu diservic dan jika perlu ia terpaksa di overhall untuk menyuci dan membersihkan semula sistem injin yangg telah kotor dan tersumbat di sana sini. Begitu juga dengan tubuh badan manusia, sejak lahir hinggalah diwajibkan berpuasa tidak putus-putus mengisikan perutnya dengan seribu satu macam makanan dan minuman siang dan malam, pagi dan petang tanpa memperdulikan bahaya dan akibatnya. Sedangkan di antara bahan-bahan makanan itu ada yang mengandungi terlalu banyak kolestrol dan lemak, atau bahan yang boleh menyebabkan batu karang, lemah jantung, kencing manis, romatizam, kinser dan sebagainya. Ada kalanya makanan dan minuman itu memberikan kesan buruk kepada otot-otot dan urat saraf yang menyebabkan bisa-bisa tuaang, selalu pening kepala, muntah-muntah, cepat merasa penat, lemah badan dan mengantuk.

Jadi, dengan puasa di bulan Ramadhan yang berterusan selama sebulan suntuk itu, selain daripada menunaikan perintah Allah pertamanya, ia juga dapat mencergaskan alat-alat dan sel-sel tubuh badan, mengatur pengaliran darah dengan sempurna, mengembalikan tenaga dan kesihatan yang terganggu sebelumnya dengan berkesan dan dapat melawan apa juga penyakit yang datang.

Hendaknya dengan adanya amalan berpuasa sebulan suntuk itu dengan sendirirnya akan dapat membentuk sikap sederhana dalam mengambil pemakanan dan makanan itu pula mestilah makanan yang seimbang, demi memastikan kesihatan kita sentiasa terjamin untuk berbakti kepada Allah, berbakti kepada agama, bangsa dan negara. 15 Ogos 2010

15. Memelihara syarat Rukun Puasa

Puasa di bulan Ramadhan amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Lantaran itu dalam menunaikan ibadat puasa itu kita dimestikan memelihara adab sopan dan syarat rukunnya, kerana puasa amat besar pahalanya dan dapat menghapuskan dosa. Ini bermakna syarat utama yang perlu ada ialah keimanan yang penuh dan sentiasa patuh kepada perintah Allah, kerana mengikut maksud sabda Nabi SAW daripada Abu Said: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan mengetahui segala batas-batas serta memelihara diri daripada segala yang tidak baik atau menjada dirinya daripada perkara-perkaraa yang sepatutunya dijaga, nescaya puasanya itu dapa menghapuskan dosanya yang lalu."

Sabdanya lagi yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Salman Al-Farissi bermaksud: "Barangsiapa bertathowwu' iaitu mengerjakan perkara-perkara yang sunat di dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu perkara dari perkara-perkara kebajikan adalah seperti orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan lainnya, dan sesiapa yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan adalah seperti orang yang menunaikan 70 fardhu di bulan lainnya."

Untuk mendapatkan puasa yang makbul dan memperolehi ganjaran sebagaimana di atas, puasa yang dikerjakan itu mestilah bukan setakat meninggalkan makan minum dan aktiviti seksual sahaja, tetapi dari pengertian hadis tersebut, keimanan dann keyakinan kita mematuhi perintah Allah itulah yang menjadi syarat utama. lantaran itu kita berpuasa hendaklah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah bukan kerana sebab-sebab lain seperti kesihatan, ekonomi atau malu dengan orang lain yang kesemuanya itu merupakan ciri-ciri kebendaan tanpa dikaitkan dengan ciri-ciri kerohanian dan takwa.

Disyariatkan puasa bukanlah dilihat dan dinilai dari segi lahir tetapi ia dinilai dari segi hakikat dan roh atau kualiti puasanya. Oleh kerana itulah peraturan-peraturan dan batas-batasannya perlu dipelihara dengan sempurna. Kerana itulah juga dilarang melakukan segala perkara yang bertentangan dengan tujuan dan matlamat puasa sebagai usaha membentuk manusia yang bertakwa dan berguna kepada dirinya, keluarganya, masyarakat dan negaranya. Ini kerana dengan menyempurkanak ibadat puasa bermakna kita sudah berupaya memahami erti kehidupan yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. 15 Ogos 2010

13. Tatatertib Berpuasa

Runtunan nafsu syahwat yangg menguasai jiwa seseorang merupakan satu penghalang daripada mengenal Allah dan mendampingkan diri kepadaNya. Sedangkan dijadikan hidup dan mati bagi setiap yang bernyawa itu adalah sebagai ujian dan percubaan sejauh mana manusia menggunakan akal fikiran dan nikmat-nikmat lain untuk beramal soleh dan bertakwa kepada Allah SWT sebagai penciptanya.

Ibadat puasa merupakan salah satu tali penghubung di antara manusia dengan Tuhannya, disamping itu ia menjadi penyedar kepada manusia dari berterus-terusan tunduk kepada runtunan hawa nafsu dan keinginannya.

Secara umum ibadat puasa yang disyariatkan oleh Islam ialah untuk membekalkan anggota masyarakat dan individu dengan nilai-nilai moral dan akhlak yang tinggi supaya dapat melaksanakan tugas-tugas yang berat dan mencabar serta menghapuskan sebarang penyelewengan dan kejahatan.

Dalam berpuasa berbagai-bagai pantang larang dikenakan supaya tujuan puasa yang sebenar itu tercapai. Oleh itu ibadat puasa itu tidak memadai semata-mata menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi mesti memelihara aturcara dan tatatertibnya.

Imam Al-Thusi dalam kitabnya Al-Luma' menjelaskan: Sebaik-baik cara orang yang berpuasa itu ialah betul niat dan tujuannya, mengekang runtunan syahwat dan keinginan nafsunya, memelihara anggota tubuh badannya, bersih dan halal makan minumnya, sentiasa mengawal hatinya dan sentiasa mengingati Allah SWT, tidak peduli sedikit atau banyak rezeki yang diterimanya, malu kerana kurang mengambil perhatian dan cuai dengan puasanya, meminta pertolongan daripada Allah untuk terus menunaikan puasanya.

Oleh itu, marilah kita semua merebut peluang keemasan yang diberikan kepada kita untuk melipatgandakan amal ibadat kerana kita belum pasti sama ada kita akan dapat menikmati kehadiran bulan Ramadhan di tahun mendatang. Ini tepat sekali dengan gesaan Rasulullahh SAW yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sebuk dan semasa hidup sebelum mati.

Marilah kita beringat sebelum terlambat kerana penyesalan di kemudian hari kelak tidak ada gunanya lagi. Marilah kita semua menydiakan payung sebelum hujan demi kepentingan diri kita sendiri. Tingkatkan ibadat di bulan berkat. 15 Ogos 2010

12. Puasa Mengiratkan Silaturrahim

Rasulullah SAW menegaskan dalam haadis sohihnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bermaksud: Setiap orang mukmin itu bersaudara, diumpamakan dari segi kasih sayang dan belas kasihannya bagaikan satu tubuh, sekiranya satu anggota itu sakit, maka seluruh anggota yang lain merasai kesakitannya.

Sebagaimana yang telah dijelaskanbahawa setiap orang Islam itu bersaudara, manakala telah menjadi sunnatullah pula tidak semua orang itu hidupnya senang dan mewah kerana kenyataannya di sana terdapat orang yang kurang bernasib baik dalam hidupnya di mana kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kadang-kadang ada yang betul-betul melarat dan tidak berdaya malahan memang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada orang lain. Oleh itu, bagaimanakah Islam menanamkan ke dalam jiiwa umatnya yang bernasib baik mengamalkan sifat tolong menolong, bantu membantu di antara satu sama lain?

Hikmat puasa, jika ditinjau dari segi kemasyarakatan, ia dapat menjawab persoalan ini, kerana dengan berpuasa ianya memberikan pengajaran dan didikan amali kepada orang yang senang dan mewah hidupnya, betapa siksa dan menderitanya orang yang sukar dan tidak sempurna makan dan minumnya sebagaimana yang dirasai oleh orang yang berpuasa. Bukankan orang yang sentiasa kenyang perutnya tidak sekali-kali akan merasai penderitaan lapar dan dahaga sebagaimana yang kini dirasai oleh orang Islam dan umat manusia di benua Aferika umpamanya yang selalu menjadi mangsa kebuluran, di Iraq kesan serangan Amerika Syarikat dan sekutunya, di Habsyah akibat kemarau panjang dan bencanan alam, di Ghaza rakyat Pelastin dinafikan haknya dengan sekatan ekonomi oleh Israil dan lain-lain lagi. Jadi dengan difardhukan puasa tanpa mengira kaya atau miskin, raja atau rakyat jelata, berpangkat atau tidak bertaital, ia dapat menyedarkan orang yang tidak pernah merasakan hidupnya susah dan melarat.

Disamping ibadat puasa itu untuk menyedarkan manusia supaya mempunyai perasaan belas kasihan, pemurah dan dermawan kepada orang yang susah, fakir miskin, anak-anak yatim, janda yang kehilangan tempat bergantung dan para pelarian yang terpaksa menyelamatkan nyawa dari tekanan dan penindasan.

Puasa juga menjadi lambang penyatuan umat Islam yang sebenar-benarnya, di mana ia dijadikan lapar dan dahaga sebagai paksaan kepada semua orang demi mematuhi perintah Allah dalam usaha mencapai tujuan persaudaraan dalam Islam. Dengan latihan puasa, akan ramailah para dermawan menderma untuk tabung anak-anak yatim, tabung kebuluran pelarian seperti pelarian Afghanistan, Pelastin dan lain-lain lagi. 15 Ogos 2010

11. Hikmat Puasa

Setiap perintah dan larangan yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada menusia mempunyai tujuan dan hikmat sama ada dijelaskan di dalam Al-Quran dan hadis secara terus terang atau yang dapat dikesan sendirii oleh manusia melalui pengalaman dan kajian.

Bila kita meneliti ibadat puasa selain daripada yang dijelaskan oleh Al-Quran sendiri iaitu untuk melahirkan ketakwaan sebagai tujuan utama dan ada hikmat-hikmat lain yang tidak dapat dikesan, antaranya:

Pertama: Membersih dan mensucikan diri daripada akhlak yang dicela, perangai yang dikeji dan tindak tanduk yang terkutuk. Mengikut maksud sabda Nabi: Tiap-tiap ssesuatu itu ada zakatnya yakni penyuciannya dan zakat tubuh badan ialah puasa.

Penyucian melalui puasa itu bererti membiasakan diri mengawal dan menguasai jasmani daripada menyahut tuntutan perut dan tekak yang sangat-sangat diperlukan oleh tubuh.

Kedua: Melatih dan menguatkan iradah dan semangat supaya orang yang berpuasa itu dapat melawan kemahuan seksual yang berkubar-kubar dan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan, seterusnya perkara-perkara yang membahayakan diri sendiri terutamanya melalui pemakanan yang tidak seimbang.

Ketiga: Untuk menyuburkan dalam jiwa kita satu tenaga kekuatan menghadapi penderitaan bila kita terpaksa menderita dan untuk menguatkan iradah atau kemahuan dalam mengejar cita-cita dan tujuan hidup yang murni.

Keempat: Membiasakkan diri dan jiwa serta memelihara amanah dan tanggungjawab. oleh kerana puasa merupakan satu amanah Allah yang paling berat dan amat sukar memeliharanya, maka apabila kita telah dapat memelihara amanah dan tanggungjawab Allah itu dengan sempurna, maka akan terdidiklah jiwa kita untuk memelihara segala amanah-amanah lain yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Kelima: Membentuk umat Islam sebagai 'Ummatan Washotho' dan umat yang mengamalkan sistem dan peraturann hidup yang sederhana sikapnya, yang seragam dan sepadu dalam segala hal sama ada dari segi pembangunan rohani mahu pun pembangunan fizikalnya. Seterusnya menanamkan semangat peri kemanusiaan, semangat rasa kasih sayang dan belas ihsan sesama manusia terutama mereka yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang melarat hidupnya. 15 Ogos 2010

10. Bersahur

Setiap orang yang berpuasa disunatkan supaya menyegerakan berbuka puasa bila sahaja masuk waktunya. Tetapi dalam bersahur berlaku sebaliknya pula iaitu seseorang itu disunatkan supaya melambatkan hingga akhir waktunya.

Orang yang berpuasa digalakkan bersahuur. Ini kerana terdapat nas-nas yang menjelaskan demikian. Di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW daripada Anas yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad yang bermaksud: Bersahurlah kamu kerana makan sahur itu ada berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air sejuk, kerana Allah dan para malaikat berselawatke atas orang-orang yang bersahhur.

Rasulullah SAW mengamalkan bersahur ini ketika waktu hampir Subuh. Ini dibuktikan dari hadis daripada Zaid ibn Thabit yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim bermaksud: Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami menunaikan solat Subuh. Aku bertanya kepada Zaid berapa lama tempoh habis makan sahur dengan solat Subuh? Zaid menjawab, ialah kadar membaca lima puluh ayat Al-Quran. Kalau dikirra secara umum kadar maswa tersebut lebih kurang sepuluh atau dua belas minit sebelum masuk waktu Subuh.

Bagi kita umat Islam di Malaysia, soal masa ini tidak menjadi masalah kerana masa imsak (menahan diri daripada makan minum dan aktiviti seksual) telah ditetapkan dan disiarkan di radio atau tv menjelang tibanya masa tersebut.

Sunah Rasulullah adalah ikutan dan amalan kita, jadi keberkatan yang diperolehi oleh orang yang bersahur kerana mengikut sunah Rasulullah SAW dan membezakan cara puasa umat Muhammad dengan ahli-ahli kitab sebelumnya. Ini dijelasakan dalam sabda Nabi yang bermaksud: Yang membezakan antara puasa kita dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani ialah makan sahur.

Kenapa pula kita digalakkan supaya kita lambat bersahur? Tujuan sebenar dilambatkan atau ditakhirkan bersahur ialah supaya kita dapat menunaikan solat Subuh di awal waktunya. Disamping itu, dengan lambat bersahur ia dapat membekalkan tubuh badan dengan tenaga yang lebih di siang hari supaya dapat menjalankan tugas-tugas harian dengan sempurna tanpa memudaratkan tubuh badan dengan tekanan kelaparan yang keterlaluan yang boleh menjejaskan daya pengeluaran dan daya saing.

9. Melipatgandakan Amal Soleh

Dunia hari ini penuh dengan cabaran dan pancaroba. Untuk menjamin kita berjaya menghadapi cabaran tersebut, bersempena dengan bulan Ramadhan ini, marilah kita mengubah sikap dan mental kita untuk kembali ke jalan Allah, sekiranya kita ingin mengharapkan kejayaan hidup di dunia dan mendapat keredhaan Allah di hari akhirat kelak.

Mengapa tidak kita jadikan bulan Ramadhan sebagai bulan rahmat untuk meningkatkan amal ibadat, meningkatkan amal bakti dan amal soleh untuk kepentingan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Mengapa tidak kita jadikan bulan Ramadhan ini untukmemperbaiki rohani, memperbaiki niat kita dalam menjalankan tugas-tugas harian. Mengapa tidak kita jadikan bulan Ramadhan ini untuk memperbaki tutur kata dan memperbaiki tindak tanduk kita? Mengapa tidak kita jadikan bulan Ramadhan ini untuk memperbaiki cara hidup kita dalam pembangunan keluarga, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

Dalam bulan Ramadhan inilah amalan soleh dan kebajikan mudah diterima dan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah. Ini kerana ketika itu jiwa kita masih bersih dan tenang kerana kesabaran kita berlapar dan menahan tuntutan nafsu batin demi taatkan Allah, menjadi benteng dari digoda dan dipersonakan oleh syaitan yang sedang dibelenggu oleh Allah sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: Bila masuk bulan Ramadhan dibukakan pintu syurga yakni mudah diterima amalan, ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan daripada menggoda orang yang berpuasa.

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa untuk melipatgandakan ibadat dan amal soleh di saat perut sentiasa berkeroncong, tekak sentiasa perit dan dahaga serta jasmani kurang bertenaga memanglah amat sukar sekali. Tetapi demi untuk melatih diri meningkatkan keimanan, takwa dan ketahanan diri dalam menghadapi segala cabaran yang mungkin berlaku, kita mesti membetulkan tekad dan niat berusaha sedaya mana yang boleh untuk melakukan kebaikan dan peningkatan diri lebih dari bulan-bulan selain dari bulan Ramadhan. Andainya kita berjaya berbuat demikian, ini bermakna kita telah berjaya dalam menghadapi jihad akbar iaitu menahan nafsu kerana cinta dan patuhkan titah perintah Allah. 15 Ogos 2010

14 Agustus 2010

8. Menghidupkan Ibadat Malam

Puasa bulan Ramadhan adalah sebagai melatih dan mendidik jiwa melawan tuntutan nafsu makan dan minuk untuk menyahut seruan Allah supaya dapat nmelipatgandakan amalan dan aktiviti ibadat malam di bulan Ramadhan lebih dari bulan-bulan yang lain.

Oleh kerana itu, kita dilarang berbuka dengan berbagai-bagai makanan dan minuman lebih dari hari-hari di bulan puasa, bahkan berbuka dengan ala kadar setakat untuk menambahkan tenaga dan tidak merosakkan kesihataan. Semoga selepas berbuka, diri ini tidak terlalu letih dan senak perut yang menyebabkan malas ke masjid atau ke surau untuk solat berjemaah, solat Tarawih dan beribadat di waktu malam.

Dalam soal makan dan minum ini, secara umum Rasulullah SAW telah menggariskan panduan yang perlu diikut sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap nasi untuk menguatkan tulang solbinya, jika memang sangat perlu dibanyakkan hendaklah ma'iddah itu dibahagi sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minum yakni air dan sepertiga untuk bernafas.

Antara ibadat yang digalakkan supaya dihayati di malam Ramadhan ialah solat malam seperti solat Isyak berjemaah, solat Tarawih, solat Witir, solat Tahajjud dan lain-lain lagi selain daripada solat Tarawih yang ditentukan khusus di malam-malam bulan Ramadhan. Ertinya, bila seseorang telah mengerjakan solat Tarawih, Witir dan Tahajjud pada satu malam di bulan Ramadhan, bermakna ia telah menghidupkan malam tersebut.

Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Hurairah ra. bermaksud: Bulan Ramadhan adalah bulan di mana Allah memfardhukan ke atas kamu puasa dan disunatkan kepada kamu menghidupkan malamnya dengan ibadat, maka barangsiapa berpuasa di siang hari dan menghidupkan malamnya kerana keimanannya kapada Allah dan mengharapkan pahala kurniaanNya, nescaya hapuslah dosanya seperti hari dia dilahirkan dari perut ibunya.

Oleh itu, sementara kita masih mempunyai peluang untuk beramal bakti dan masih berkemampuan melaksanakannya, maka amat wajarlah bagi kita meluangkan masa pergi ke masjid-masjid dan surau-surau solat berjemaah bagi mengisi malam-malam di bulan Ramadhan dengan solat malam, berzikir, membaca Al-Quran dengan bertadarus dan sebagainya. Mudah-mudahan, puasa kita diterima oleh Allah dan seterusnya mendapat keampunan dan keredhaanNya. 4 Ogos 2010

7. Menyegerakan Berbuka Puasa

Setelah kita berpuasa sepanjang hari menahan lapar dan dahaga kerana taatkan perintah Allah, maka apabila telah yakin terbenamnya matahari sama ada dengan melalui pengelihatan sendiri, melalui siaran radi, TV dan sebagainya, maka kita digalakkan supaya menyegerakan berbuka dengan tidak melingah-lingahkannya masa lagi.

Dalam soal ini Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sentiasalah manusia dalam kebaijkan (sentiasa berada dalam keadaan normal tanpa sebarang gangguan fizikal) selama mereka mempercepatkan berbuka.

Ini bererti, sebaik sahaja masuk matahari kita digalakkan segera berbuka walaupun hanya dengan seteguk air, ia bagi memberikan hak tubuh badan selepas menunaikan perintah Allah, dan berbuka ini pula hendaklah dilakukan sebelum menunaikan solat fardhu Maghrib, kerana diriwayatkan oleh Ibn Abdul Bar dari Anas ibn Malik katanya: Sekali-kali tidak pernah aku melihat Rasulullah SAW solat Maghrib lebih dahulu sebelum berbuka puasa walaupun hanya dengan seteguk air sahaja.

Manakala makanan utama untuk berbuka puasa pula ialah makanan yang mengandungi zat manisan yang menyegarkan dan menambah kesihatan dan tidak dimasak dengan api seperti kurma yang banyak diimpotan oleh Syarikat Yusof Taiyoob dan lain-lain, atau pengat dan sebagainya, kerana mengikut hadis yang diriwayatkan oleh ABu Ya'la dari Anas ujarnya: Adalah Rasulullah SAW suka berbuka puasa dengan tiga biji kurma atau sesuatu yang tidak dimasak dengan api. Manakala yang paling afdhal ialah ruthab sebagaimana maksud sabda Nabi: Jika berbuka, maka berbukalah dengn kurma atau tamar kerana ianya amat berkat.

Dalam hubungan ini juga, Allah berfirman dalam Hadis Qudsi bermaksud: Sesungguhnya yang paling aku sayangi dari hambaku ialah yang paling sederhana berbuka.

Mengikut satu kajian saintis pemakanan yang membuktikan bahawa galakan berbuka puasa dengan kurma atau tamar atau apa juga bahan manisan itu sebenarnya ada kaitan dengan pemulihan tenaga di mana ia membolehkan tali perut berupaya menyedut larutan yang bercampur dengan manisan itu begitu cepat sekali, di mama ia bertindak menyegarkan semula tubuh badan dan dapat menggantikan bahan-bahan yang telah habis diproses sewaktu berpuasa sepanjang hari dengan cepat untuk pulih semula seperti sedia kala. Sedangkan bahan makanan berat yang lain daripada manisan seperti nasi, martabak, mee dan sebagainya, ia memerlukan penghadhaman yang memakan masa. Ini meninggalkan kesan lapar yang memakan masa panjang sekalipun perut telah kenyang dengan berbagai makanan.

Bagi memastikan kita berupaya untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih dengan selesa, memadalah berbuka dengan memakan beberapa biji kurm, minum air dan memakan makanan lain sekadarnya. Selepas solat Tarawih nanti kita sambung semula dengan memakan makanan yang agak berat seperti nasi dan sebagainya. 14 Ogoss 2010

6. Berbuka Puasa

Orang yang berpuasa tidak mendapat faedah dari puasanya jika sekiranya mereka mengamalkan tabeat rakus dikala berbuka puasa dan bertabeat gelojoh ketika bersahur sebagaimana yang sering berlaku di kalangan umat Islam hari ini.

Kenyataannya, banyak kita lihat bahawa sebilangan besar orang Islam menyediakan makanan dan juadah di bulan puasa sungguh berbeza sekali dengan bulan-bulan yang lain. Di bulaan puasa mereka mengumpul berbagai rupa makanan dan minuman, makanan yang kadang-kadang tidak pernah sekali mereka makan di bulan yang lain, setiap petang mereka menyediakannya di bulan Ramadhan. Dari kenyataan tersebut, jelas bahawa pengertian puasa itu sendiri telah tidak memberi apa-apa kesan dalam kehidupan. Bukankah puasa itu untuk mengekang runtunan nafsu terutama makan minum dan seksual untuk meningkatkan tahap rohani ke peringkat yang lebih tinggi demi sanggup berjihad ke jalan Allah?

Oleh yang demikian puasanya bukan menjadi pedang pemotong hawa nafsu atau alat untuk mematahkan syahwat yang berlebih-lebihan, malahan ia menjadi bahan penambah selera dalam memenuhi nafsu dan keinginan. Oleh kerana itu tidak hairanlah kalau sebahagian besar orang Islam tidak sanggup bangun daripada tidur sesudah berbuka puasa untuk solat Tarawih, apa lagi solat-solat sunat dan ibadat-ibadat yang lain seperti membaca Al-Quran, berzikir, solat Tahajjud dan lain-lain lagi disebabkan tekanan perut yang terlalu kenyang.

Kadang-kadang ia disebabkan memakan beranika macam makanan yang memaksanya untuk berehat seperti menonton TV sahaja atau tidur sampai jauh malam atau kadang-kadang terus tidur ke pagi tanpa memperdulikan bersahur.

Tidak dinafikan bahawa kita disukai kerana menjadi orang yang pemurah atau al-Jud di bulan Ramadhan, tetapi bukanlah seperti cara yang sedemikian. Apa yang dimaksudkan dengan membanyakkan perbelanjaan ialah membanyakan pemberian kepada kaum kerabat dan jiran tetangga yang dhaif, pemberian kepada fakir miskin dengan pelbagaai cara sama ada kita memberikan kepada mereka makanan untuk berbuka puasa atau kita mempersilakan mereka ke rumah untuk dijamu makan atau kita mengeluarkan sedekah di jalan Allah.

Bukanlah dengan banyaknya makanan itu untuk menyesakkan perut kita sendiri, kerana ia sama sekali bertentangan dengan rahsia puasa iaitu untuk mengurangkan tekanan kekuatan jasmani yang dapat meningkatkann jiwa dan menyedarkan dari kelalaian dan menginsafkan kita kepada kebenaran dan takwa, kerana perut yang kenyang dan kepuasan seksual sering membawa diri kita kepada kelalaian daripada mengingati Allah, hayal dan mementingkan diri sendiri yang akibatnya membutakan mata hati kita kepada Allah, sedangkan tujuan diciptakan manusia itu ada untuk mengabdikan diri atau menyembah Allah (Az-Zariyat:56). 14 Ogos 2010

5. Puasa Mengimbangi Tuntutan Jasmani

Puasa sebulan Ramadhan dalam setahun terhadap jiwa serupalah bendingannya dengan riadhah sanawiyah atau sukan tahunan. Jika peraturan-peraturan kesihatan tubuh menetapkan supaya setiap pekerja yang ingin memelihara kesihatan mesti bersukan sebulan lamanya dalam tiap-tiap tahun, dalam masa bersukan sebulan itu ia harus mengurangkan makanan atau santapan jiwa dan mengurangkan sebarang aktiviti yang memberatkan akal fikiran. Manakala peraturan roh pula menetapkan supaya manusia melatih dirinya sebulan dalam setahun dengan mengurangkan makanan dalam tubuhnya bagi meningkatkan tahap maksima kerohaniannya.

Dari contoh tersebut kita dapati para doktor menetapkan keperluan istirahat dari sebarang aktiviti kerohanian dan pemikiran yang boleh menjejaskan kekuatan fizikal untuk sebulan lamanya dalam tiap tahun dengan alasan perlu meningkatkan tenaga untuk mencapai tahap kecergasan tubuh yang maksima bagi menghadapi cabaran jasmmani. Manakala doktor rohani berhujah sebaliknya pula, iaitu tenaga jiwa yang diperolehi oleh manusia dalam bergelomang dengan kebendaan selama sebelas bulan itu perlu diganti dengan menguranngkan makanan tubuh badan selama sebulan dalam setahun.

Dengan demikian tegaslah bahawa maksud Islam dengan memfardhukan puasa ialah untuk menghasilkan perimbangan atau menseragaamkan di antara hak tubuh badan dan hak jiwa supaya manusia itu menjadi manusia yang seimbang dan sempurna.

Manusia diciptakan oleh Allah dengan kombinasi dari dua unsur. Pertama, jisim yakni tubuh kasar dan kedua, roh iaitu nur Allah. Kedua-dua unsur ini memerlukan makanan dan santapan masing-masing. Tubuh badan memerlukan zat dan tenaga dari makanan yang berzat dan berkhasiat. Manaka roh yang mengambil wujudnya dari nur Allah memerlukan santapan dalam jiwa atau kerohanian.

Ini bermakna kita tidak boleh menjadikan tubuh badan luaran mengadakan hubungan secara langsung di antara jiwa dengan Allah. Lantaran itu mestilah ia berusaha mengadakan hubungan secara langsung di antara jiwa dengan Allah melalui ibadat seperti puasa, solat dan lain-lain lagi, supaya dengan melalui ibadat itu ia sentiasa mendapat tenaga baru yang sanggup mengatasi kehendak-kehendak tubuh dan dalam masa yang sama dapat berhubungan dengan penciptanya melalui ibadat khasnya ibadat puasa. 14 Ogos 2010

4. Puasa Hak Allah

Puasa adalah ibadat lain dari yang lain. Ini berdasarkan firman Allah dalam Hadis Qudsi yang bermaksud: Setiap amalan anak Adam adalah baginya sendiri, kecuali puasa ia tuntutan bagiKu dan Akulah yang memberikan ganjarannya.

Sebab puasa disandarkan kepada Allah ialah kerana puasa bererti meninggalkan segala keinginan-keinginan diri dan segala kerinduan hati yang memang telah menjadi tabeat semula jadi pada manusia, meninggalkan keinginan diri yang tidak terdapat dalam ibadat-ibadat yang lain.

Contohnya, semasa ihram dalam ibadat haji, yang tidak diibolehkan hanyalah menyetubuhi isterinya sahaja, tetapi makan dan minum masih dibolehkan. Dalam solat hanya sebenter sahaja kita menahan diri dari makan dan munim dan menyetubuhi isteri, kerana itu tidak terasa sebarang kesukaran, tetapi dalam puasa ini terasa benar kepedihan dan kesulitan menahan makan dan minum dan menahan diri daripada mendekati isteri sedangkan di lain masa ianya halal bagi kita.

Apabila seseorang berpuasa di bawah tekanan udara yang amat panas terik, perut berkeroncong, kerongkong terasa perit dan pahit, tenaga terasa lemah, apa lagi bila tinggal di tempat yang senyap sunyi tidak ada siapa pun yang melihat segala tindakan kita, nyatalah bahawa ia benar-benar menahan nafsu kerana Tuhannya dan lantaran menunaikan perintah Allah.

Sebenarnya puasa itu adalah satu rahsia di antara hamba dengan Tuhannya yang tidak sekali-kali diketahui selain dari Allah sendiri. Puasa itu terbentuk daripada niat yang tersembunyi yang hanya Tuhan sahaja yang mengetahui niat tersebut. Puasa juga hanya tercapai dengan meninggalkan keinginan yang boleh dicapai dalam bulan-bulan selain daripada bulan Ramadhan.

Dengan berpuasa kita mendekatkan diri kepada Allah dengan meninggalkan syahwat atau keinginan makan minum dan bersetuhuh, padahal ketiga-tiga syahwat dan keinginan jasmani inilah yang paling sukar ditahan dan dikawal oleh manusia kecuali orang yang benar-benar beriman kepada Allah, lantaran itu Allah memperakukan bahawa puasa itu hanya untukKu dan Akulah yang akan membalas ganjarannya. 14 Ogos 2010.

3. Puasa Mengajar Berdisiplin

Berdisiplin dan bersistem adalah satu cara hidup orang bertamadun. Lantaran itulah kita dapati Islam begitu menitikberatkan penganutnya supaya mengamalkan sifat tersebut dalam setiap lapangan hidup.

Sekiranya kita menganalisa ibadat puasa, jelas menunjukkan kepada kita bagaimana Islam telah mengatur dan mendidik umatnya supaya hidup berdisiplin secara amali yang dapat memberi kesan yang begitu jelas dalam kehidupan sehari-hari, kerana amalan ibadat puasa merupakan madrasah atau institusi pendidikan rohani, akhlak, peri kemanusiaan, kesihatan dan kemasyarakatan yang menjamin kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Contohnya, lihatlah bagaimana puasa Ramadhan difardhukan. Ia diwajibkan berpuasa dalam masa tertentu dan dalam bulan Ramadhan sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Ia juga diwajibkan berpuasa serentak dengan kelihatan anak bulan Ramadhan dan diwajibkan berbuka pada hari raya serentak dengan kelihatan anak bulan Syawal, seterusnya setiap orang Islam diwajibkan berpuasa bila menjelangnya fajar hinggalah terbenam matahari dengan syarat-syarat dan peraturan-peraturan tertentu.

Dari ketetapan yang ditentukan oleh Allah SWT kepada hambaNya yang beriman melalui sistem puasa ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam semenjak dari akil baligh lagi telah dilatih dan dididik supaya hidup bersistem dan berdisiplin secara berjemaah atau kolektif dalam bentuk dan cara tertentu mengenai masalah pokok dalam Islam.

Puasa Ramadhan adalah rukun Islam yang menjadi fardhu 'ain kepada setiap muslim, bila mana ibadat ini dapat dilaksanakan setahun sekali dalam sebulan dengan cukup syarat rukunnya, maka kesan dari amalan tersebut akan menjalar dan meresap ke dalam kehidupan sehari-hari di luar bulan Ramadhan. Dengan latihan ini, ia akan dapat menseragamkan kedudukan setiap orang yang beriman kepada Allah dalam menunaikan perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Dalam masa yang sama ia menseragamkan cara bertindak, meseragamkan penyatuan tekad dan niat dalam usaha membangunkan masyarakat dan ummah serta negara tercinta khasnya dalam konteks satu Malaysia. 14 Ogos 2010

2. Sejarah Perkembangan Puasa

Puasa adalah satu ibadat yang terlah lama berkembang dalam masyarakat manusia sebelum Islam, Surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: Sebagaimana yang telah ditetapkan ke atas orang yang sebelum kamu.

Imam Al-Qurtunbi dalam Jami' Li Ahkam Al-Quran mentafsirkan: Sebagaimana yang telah ditetapkan ke atas orang yang sebelum kamu mengatakan: As-Syuib, Qatadan dan lain-lain menetapkan bahawa penyerupaan di sini kempabali kepada waktu puasa dan kadar lama puasa.

Mujahid pula berkata: Allah telah memfardhukan puasa ke atas setiap umat. Syed Redha pula berkata: Puasa itu pernah dilakukan orang Arab sebelum Islam. Diberitakan oleh Aisyah: Bahawa orang Quraisy ada berpuasa pada hari Asyura, Manakala Imam Abduh mengatakan: Menurut pendapat yang masyhur dalam kalangan umat Islam bahawa puasa itu diwajibkan ke atas semua pemeluk agama seperti bangsa Masir Kono, bangsa Yunani atau Greek yang mempastikan berpuasa ke atas lelaki dan wanitanya. Demikian juga bangsa Rom dan orang Hindu terus mengerjakan puasa hingga ke hari ini.

Dala kitab Taurat dan Injil tidak terdapat keterangan yang mewajibkan puasa secara terus terang, tetapi apa yang dapat dipastikan bahawa Nabi Musa ada berpuasa 40 hari lamanya. Manakala orang Yahudi sekarang berpuasa 7 hari lamanya buat memperingati keruntuhan Darus Salam, juga puasa sehari di bulan Rejab iaitu bulan yaang ke lapan dari tahun Syamsiah.
Manakala puasa orang Nasrani yang termasyhur ialah puasa sebelum Aid Al-Fasih hari memperingati Al-Masih bangun dari kubur (puasa ini dilakukan Nabi Musa, Nabi Isa dan Hawari).

Tegasnya dapat disimpulkan bahawa puasa bukan sahaja difardhukan kepada orang Islan selepas diutus Nabi Muhammad SAW sahaja, tetapi sebelum ini juga umat yang beragama terutama sekali agama Nasrani dan Yahudi juga disyariatkan untuk berpuasa. Demikian juga dengan penganut-penganut agama lain seperti Mesir Kono ddan lain-lain. 13 Ogos 2010.

1. Puasa Ibadat Berorintasikan Kerohanian

Puasa bulan Ramadhan ialah salah satu dari sendi Islam atau lebih dikenali denggan rukun Islam yang keempat. Puasa merupakan ibadat yang berbentuk rohani yang difardhukan oleh Allah ke atas setiap muslim sebagai satu cara membentuk keimanaan seseorang yang benar-benar beriman kepada Allah. Kewajipan ini dijelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 183 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Mengapa takwa menjadi tujuan utama berpuasa? Jawabnya, kerana takwa itu merupakan intisari kehidupan muslim sejati; dan puasa juga adalah satu cara di mana rohani dapat mengalahkan tarikan jasmani. Dengan lain perkataan. roh dapat menyekat runtunan nafsu syahwat supaya dapat berjalan mengikut hukum hakam dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah.

Mengapa rohani amat penting dikawal dan dipelihara dalam kehidupan manusia? Kerana sebagaimana kita maklum bahawa manusia terbentuk daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Makan minum dan hubungan seksual merupakan pengisian tuntutan jasmani. Bila perut sentiasa kenyang dan merasa puas, maka runtunan jasmanilah yang selalu menguasai jiwa dan rohani seseorang.

Oleh kerana itu difardhukan puasa setahun sekali selama sebulan suntuk itu sebenarnya ia dapat membantu mengatur program hidup sehari-hari, meningkatkan ketahanan jiwa dan membersihkan hati dan perasaan daripada berterusan diruntun keinginan nafsu berpunca dari perut yang sentiasa kenyang.


Dengan berpuasa sebulan secara berterusan dalam setahun itu sekurang-kurangnya ia akan dapat mengimbangi tuntutan jasmani dan rohani supaya berjalan seimbang sesuai dengan tugasnya sebagaai khalifah Allah di muka bumi ini agar dapat memainkan peranannya dengan betul dan sempurna.

Sebenarnya cabaran untuk mendapatkan takwa sebagai menifestasi dari ibadat puassa atau untuk mendapatkan keredhaan Allah itu begitu berat sekali untuk dilakukan oleh orang-orang yang dibelenggu jiwanya dengan kekuatan jasmani sahaja. Lantaran itulah membendung kekuatan jasmani melalui puasa dapat mengurangkan tekanan tersebut yang sekaligus memudahkan usaha-usaha ke arah takwa dan mendapatkan keredhaan Allah. 13 Ogos 2010