Setelah kita menunaikan puasa sebulan di bulan Ramadhan, kita diwajibkan berbuka di hari raya pada satu Syawal kerana di hari ini kita semua diharamkan berpuasa. Setelah kita berbuka sehari, kita disunatkan pula berpuasa selama enam hari atau yang dinamakan sebagai puasa dahar. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayub maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa enam hari di bulan Syawal maka itulah puasa dahar (puasa selama-lamanya).
Mengapa dengan menunaikan kedua puasa iaitu puasa Ramadhan dan puasa enam ini dinamakan puasa dahar? Ini adalah kerana sesuatu kebajikan dibalas dengan sepuluh kali ganda. Maka puasa Ramadhan disamakan dengan puasa sepuluh bulan dan puasa enam hari di bulan Syawal disamakan pahalanya dengan puasa dua bulan. Maka dengan menunaikan kedua-dua puasa itu, kita telah mengerjakan puasa setahun penuh. Apabila kita terus menerus berpuasa setiap tahun, maka bermakna seolah-olahnya kita berpuasa selama-lamanya, lantaran itulah dinamakan puasa dahar atau puasa sepanjang masa. Antara fadhilah mengerjakan puasa enam ialah:
- Bahawa puasa enam di bulan Syawal memberikan pahala puasa sepanjang masa.
- Puasa enam itu serupa dengan sunat rawatib sesudah solat fardhu di mana peranannya untuk menampal segala kekurangan yang berlaku pada puasa fardhu kerana kekurangan fardhu dapat ditampal dengan ibadat-ibadat sunat di hari kiamat.
- Bahawa kesanggupan mengulangi puasa sesudah puasa sebulan Ramadhan membuktikan puasa Ramadhannya diterima, kerana Allah apabila menerima amalan seseorang ia membuktikan hambanya itu mengerjakan amalan-amalan solih yang lain.
- Puasa enam sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah yang dikurniakan ketika di bulan Ramadhan.
- Bahawa amal yang dilaksanakan untuk mendekatkan diri kepada Allah di bulan Ramadhan tidak putus dengan berlakunya bulann Syawal, malahan terus berkekalan dengan mengiringi puasa Ramadhan dengan puasa enam sesudahnya. Kerana amalan Rasulullah SAW baginda terus mengerjakan amalan-amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan di bulan-bulan seterusnya. Begitulah sepatutnya yang perlu kita ikuti dan teladani sebagai menghayati sunnah Rasulullah SAW.
Mengenai puasa enam ini, sekiranya kita meninggalkan puasa Ramadhan mestilah kita qadakkan puasa Ramadhan terlebih dahulu kemudian diikuti pula dengan puasa enam di bulan Syawal, itulah yang lebih utama. Mudah-mudahan puasa kita diterima dan terus mendapat taufik hingga ke tahun akan datang, insya Allah. 15 September 2020
Tidak ada komentar:
Posting Komentar