Cari Blog Ini

15 September 2010

21. Puasa Dahar atau Puasa Enam

Setelah kita menunaikan puasa sebulan di bulan Ramadhan, kita diwajibkan berbuka di hari raya pada satu Syawal kerana di hari ini kita semua diharamkan berpuasa. Setelah kita berbuka sehari, kita disunatkan pula berpuasa selama enam hari atau yang dinamakan sebagai puasa dahar. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayub maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa enam hari di bulan Syawal maka itulah puasa dahar (puasa selama-lamanya).

Mengapa dengan menunaikan kedua puasa iaitu puasa Ramadhan dan puasa enam ini dinamakan puasa dahar? Ini adalah kerana sesuatu kebajikan dibalas  dengan sepuluh kali ganda. Maka puasa Ramadhan disamakan dengan puasa sepuluh bulan dan puasa enam hari di bulan Syawal disamakan pahalanya dengan puasa dua bulan. Maka dengan menunaikan kedua-dua puasa itu, kita telah mengerjakan puasa setahun penuh. Apabila kita terus menerus berpuasa setiap tahun, maka bermakna seolah-olahnya kita berpuasa selama-lamanya, lantaran itulah dinamakan puasa dahar atau puasa sepanjang masa. Antara fadhilah mengerjakan puasa enam ialah:
  1. Bahawa puasa enam di bulan Syawal  memberikan pahala puasa sepanjang masa.
  2. Puasa enam itu serupa dengan sunat rawatib sesudah solat fardhu di mana peranannya untuk menampal segala kekurangan yang berlaku pada puasa fardhu kerana kekurangan fardhu dapat ditampal dengan ibadat-ibadat sunat di hari kiamat.
  3. Bahawa kesanggupan mengulangi puasa sesudah puasa sebulan Ramadhan membuktikan puasa Ramadhannya diterima, kerana Allah apabila menerima amalan seseorang ia membuktikan hambanya itu mengerjakan amalan-amalan solih yang lain.
  4. Puasa enam sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah yang dikurniakan ketika di bulan Ramadhan.
  5. Bahawa amal yang dilaksanakan untuk mendekatkan diri kepada Allah di bulan Ramadhan tidak putus dengan berlakunya bulann Syawal, malahan terus berkekalan dengan mengiringi puasa Ramadhan  dengan puasa enam sesudahnya. Kerana amalan Rasulullah SAW baginda terus mengerjakan amalan-amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan di bulan-bulan seterusnya. Begitulah sepatutnya yang perlu kita ikuti dan teladani sebagai menghayati sunnah Rasulullah SAW.
Mengenai puasa enam ini, sekiranya kita meninggalkan  puasa Ramadhan mestilah kita qadakkan puasa Ramadhan terlebih dahulu kemudian diikuti pula dengan puasa enam di bulan Syawal, itulah yang lebih utama. Mudah-mudahan puasa kita diterima dan terus mendapat taufik hingga ke tahun akan datang, insya Allah. 15 September 2020

20. Ziarah Menziarahi dan Bermaaf-maafan

Di hari raya seperti inilah sepatutnya kita mengambil peluang ziarah menziarahi sanak saudara, sahabat dan rakan sambil bermaaf-maafan untuk mengiratkan hubungan silaturrahim. Mungkin dalam masa setahun itu kita tidak berkesempatan untuk ziarah menziarahi sanak saudara, kaum keluarga dan sahabat handai yang jauh mahu pun yang dekat disebabkan sibuk dengan urusan masing-masing atau kerana tempat kerja yang berjauhan. Maka, semasa hari raya inilah semua orang perlu mengambil kesempatan bercuti rehat balik ke kampung halaman masing-masing.

Peluang ini perlu digunakan untuk mengiratkkan hubungan silaturrahim serta merapatkan persahabatan kerana Allah. Ini berdasarkan hadis rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada Abu Hurairah yang maksudnya: "Orang yang menziarahi sahabatnya semata-mata kerana mencintainya untuk mengharapkan keredhaan Allah nescaya Allah mencintainya sebagaimana ia mencintai saudaranya itu".

Dalam menziarahi sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetanggn, kita digalakkan bermaaf-maafan antara satu sama lain kerana perbuatan ini mempunyai kesan dan peranan bagi melepaskan diri kita dari baban siksa di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: "Orang yang muflis ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan yang banyak dari solat, zakat, puasa dan lain-lain lagi tetapi di samping itu juga banyak amalan buruk dilakukan ketika di dunia seperti memaki hamun orang, menuduh yang tidak benar, makan harta orang, membunuh, memukul seseorang dan sebagainya sedangkan semasa hidupnya tidak pernah meminta maaf dan tidak pernah meminta dihalalkan apa yang termakan dan terminum, maka kebaikan yang ada itu ditolak dengan keburukan yang pernah dilakukan yang akhirnya kebaikannya itu habis. Yang tinggal hanya keburukan sahaja, lalu orang itu dilimparkan ke dalam neraka".

Bersempana dengan hari dan bulan yang baik ini, marilah kita bermaaf-maafan dan meminta dihalalkan apa yang termakan dan terminum, meminta dihalalkan hutang piutang yang tidak mampu ditunaikannya, kerana dari pengajaran hadis di atas betapa ruginya orang yang sepatutnya masuk syurga, tetapi kerana ada masalah yang berkaitan dengan manusia yang tidak diselesaikan di dunia menyebabkan ia masuk neraka. 

Oleh itu, sementara kita masih mempunyai peluang melakukan sesuatu di dunia ini, maka kesempatana beginilah yang sepatutnya digunakaan dengan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan kita semua akan beroleh kejayaan hidup di dunia dan mendapat keredhaan Allah di akhirat kelak. 15 September 2010



19. Hari Raya Menurut Islam

Biasanya semakin hampir kita ke akhir puasa Ramadhan yang mulia, semakin rungsing kita memikirkan bagaimana hendak menyambut hari raya. Kita rungsing apakah pakaian yang harus kita dan anak-anak atau famili yang akan dipakai di hari raya pertama, berapa jenis kuih dan hidangan pembuka selera yang harus kita siapkan untuk dinikmati oleh keluarga dan para tetamu nanti, supaya setaraf dengan pangkat dan kedudukan kita. Perhatian terhadap soal-soal kebendaan ini begitu mempengaruhi masyarakat kita sehingga setengahnya sanggup berhutang atau bergolok bergadai supaya tidak ketinggalan dari orangg lain dari segi persiapan hari raya.

Syariat Islam menganjurkan umatnya supaya hidup dalam kesederhanaan kerana kemewahan dalam aspek kebendaan semata-mata bukanlah matlamat hidup setiap hamba Allah sehingga kita lupa dan mengabaikan nbilai-nilai kerohanian dan tanggungjawab kita kepada Allah dan kepada sesama manusia. Sepatutnya latihan berpuasa menjadikan kita lebih dekat kepada konsep Islam iaitu hidup sederhana, berjimat cermat, tidak meembazir, jujur, bersih amanah, cinta kepada kebaikan dan benci kepada keburukan serta emungkaran. Allah mendorong kita mencari rezeki yang halal dari kelebihan, tetapi melarang kita mencintai harta benda lebih daripada mencintai Allah dan rasulNya.

Dalam pengertian lain, kita disuruh bekerja keras mencari kelebihan rezeki kurniaan Allah bukanlah kerana cintakan harta benda itu semata-mata, tetapi hanya kerana Allah. Maka kita membelanjakannya hendaklah kerana Allah jua. Jika konsep Islam ini dapat kita terapkan dalam kkehidupan kita sehari-hari, tentulah kita sentiasa lapang dada dan waktu untuk bersiap sedia menyambut hari raya.

Aidilfitri dikurniakan oleh Allah sebagai ganjaran kepada hambaNya yang taat sesudah berjaya menempuh ujian sepanjang Ramadhan. Pada pagi hari raya kita disunatkan mandi untuk solat hari raya dan beramai-ramai ke masjid / surau bersolat sunat hari raya dua rakaat sebagai tanda kesyukuran atas nikmat Allah kepada kita, sedangkan nikmat Allah yang peling besar sekali tidak lain daripada taufik dan hidayahnya kepada kita di mana kita tergolong dalam kumpulan orang-orang yang beriman.

Oleh itu, segala macam persiapan hari raya adalah sebahagian dari tanda kesyukuran kita kepada Allah. Kesyukuran yang sebenarnya tidak boleh dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam, misalnya persiapan kuih muih kita lebih banyak dan lebih hebat, baju anak-anak kita lebih bermutu dan lebih mahal harganya dari baju anak-anak orang lain dan budaya terkini kita dapati anak-anak muda kita sudah tidak berminat untuk kunjung mengunjung, ziarah menziarahi sahabt handai, rakan dan taulan kerana  terpesona dengan siaran TV yang pelbagai dan lebih menarik juka dibandingkan dengan tujuan berhari raya.  Jika budaya sedemikian berterusan, maka konsep hari raya sebagaimana yang diterapkan oleh Islam kepada masyarakat kerana bersyukur di atas kejayaan melawan nafsu sepanjang Ramadhan tidak akan dapat dicapai selamanya. Fikir-fikirkanlah sebelum ia menjadi budaya yang merosakkan kesucian hari raya. 5 September 2010